Kursus Perunding NADI Al Baghdadi

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Dengan izin dan iradatNya, aku dan anakku berpeluang menghadiri Kursus Perunding NADI Al Baghdadi Eksklusif kerana dikendalikan sepenuhnya oleh Pengasas teknik ini iaitu Ustaz Jalaludin. Kehadiran kursus ini amat-amat menggalakkan dengan jumlah peserta seramai 100 orang lebih termasuk wakil pengusaha dari Singapura dan Acheh. 

Kenapa aku hadir kursus ini ? Kerana setelah anakku mengikuti Pra Sekolah Al Baghdadi yang dikenali sebagai APC (Al Baghdadi Playtime Centre) walaupun dalam jangkamasa yang singkat iaitu 15 Januari sehingga 17 Mac 2017, namun anakku berjaya menghafaz Surah An Naba' ayat 1 hingga 10, dan yang paling mengagumkan aku adalah anakku dapat menghafal secara rawak walaupun ditanya semasa bermain. Memandangkan tiada APC di Miri, maka aku berbincang dengan suami untuk menghadiri kursus ini agar aku dapat mengajar anakku kelak di Miri dan sememangnya aku berniat untuk membuka APC di Miri. Kekangan kewangan merupakan faktor utama untuk membuka APC setakat ini namun aku yakin sekiranya sememangnya Allah telah takdirkan rezekiku maka ia tidak mustahil suatu hari nanti, In sha Allah. Yang paling utama, aku juga perlu memastikan aku juga mengamalkan teknik yang diamalkan ini untuk bersama-sama anakku meneruskan hafazannya.

Ya Allah, aku sedar akan kelemahan dan kekurangan diriku Ya Allah, aku tidak mempunyai apa-apa tanpa pertolonganMu. Alangkah indahnya apabila mendengar ayat-ayatMu dilagukan oleh mulut-mulut comel anak-anak di APC Meru Perdana tempat anakku menimba ilmuMu. Ustaz Jalal semasa kursus kerap kali menekankan agar semua peserta bersama-sama dengan Al Quran setiap masa walaupun bukan dengan Al Baghdadi kerana dalam hadith sahih telah mengatakan bahawa Al Quran akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Bayangkan pahala membaca surah Al Fatihah yang mempunyai 139 huruf di mana Allah menjanjikan 10 pahala bagi setiap huruf maka menjadi 1,390 pahala sekali baca.

                                        1,390 pahala x 17 kali solat wajib/ sehari = 23,630
Jika kita mengajar 30 orang murid maka pahalanya untuk sehari menjadi 708,900 sehari dan dalam sebulan menjadi 21,267,000 pahala. Bayangkan jika pahala tersebut diterjemahkan dalam bentuk RM pastinya karier Guru Al Quran menjadi pilihan utama kerjaya pilihan semua orang. Ini merupakan perniagaan MLM yang dijamin tidak pernah rugi oleh Allah swt. Namun hakikatnya pahala tersebut tidak dizahirkan Allah di dunia kerana dunia ini medan ujian dan perjuangan untuk persediaan bekal di akhirat kelak. Ya Allah pilihlah aku walaupun aku sedar kekurangan dan kelemahan diriku ini Ya Allah. Aku tiada modal, aku tiada kemahiran namun aku amat berharap agar suatu hari nanti impian ku menjadi kenyataan dengan izinMu. 

Perancanganku untuk membuka Tadika Little Caliphs di Bintulu juga tidak dapat direalisasikan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun aku yakin perancangan Allah yang terbaik dan segala yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya cuma aku sebagai hambaNya yang serba lemah ini sering merasa kecewa. Ampunkan aku Ya Allah.

Tagline NADI Al Baghdadi "Now Everyone Can Hafaz Al Quran" amat tepat kerana peserta yang datang dari pelbagai latar belakang serta peringkat umur, berjaya menghafaz Surah An Naba' ayat 1 hingga 8 dalam tempoh 30 minit dan boleh ditebuk di mana-mana ayat. Masya Allah sungguh luas ilmuMu dan berkat kasih sayangMu maka Engkau anugerahkan ilham kepada Ustaz Jalal dan pasukannya untuk menebarkan ilmu Al Quran dibumiMu ini. Negara Australia juga telah menyatakan kesediaan untuk membuka cawangan Al Baghdadi, semoga usaha Ustaz Jalal dan pasukannya diberkati dan dipermudahkan.

       

Comments

Topik popular