'He is just a kid"

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Ilustrasi di atas amat mendalam bagiku, kita sering mendengar perkataan "Biarlah dia kecik lagi" namun kita lupa bahawa proses mendidik bermula dari dalam rahim lagi. Di Barat, sebaik sahaja mengetahui bahawa dirinya mengandung maka si ibu akan membuat pelbagai aktiviti yang merangsang bayi dalam kandungan. Pemakanan ibu juga dijaga agar kandungan memperoleh zat yang mencukupi. Pengalaman sebagai seorang yang baru terlibat dengan dunia pendidikan awal kanak-kanak, ramai dikalangan ibubapa yang memandang remeh usia 0-6 tahun sedangkan tempoh berkenaan merupakan "Golden Age" di mana kanak-kanak menyerap setiap perkara yang didengari dan dilihat. 

Sewaktu doktor mengesahkan bahawa rawatan IVF (Bayi Tabung Uji) kali kedua yang menggunakan "Frozen Embryo" lekat dirahimku, aku telah bernazar untuk Khatam Quran dalam tempoh kehamilan selama 9 bulan. Alhamdullilah niatku dimakbulkan Allah dan aku hadiahkan pahalanya untuk arwah kedua ibubapa mertuaku yang tidak sempat menatap wajah cucu daripada anak lelaki bongsu mereka. 

Setelah kelahirannya, aku akan memasang rakaman ayat-ayat Al Quran setiap masa sebagai halwa telinganya dengan niat agar anakku mudah mengingati ayat-ayat cinta Allah. Aku sering berdoa agar anakku kelak menjadi seorang Tahfiz profesional yang berjaya di dunia dan akhirat walaupun aku seorang yang penuh dengan kekurangan. Aku yakin bahawa Allah Maha Mendengar dan aku perlu berusaha dengan gigih untuk mengubah diriku menjadi lebih baik kerana seorang Ibu adalah MADRASAH PERTAMA anaknya. Wahai anakku, mummy mohon maaf di atas segala kekurangan mummy sepanjang membesarkanmu. Kata-kata Ustazah Norhafizah Musa yang mengatakan bahawa ibubapa perlu bertaubat terlebih dahulu jika ada anak-anak yang tersilap laku kerana pada setiap anak itu terletak tanggungjawab yang besar pada ibubapanya. Ya Allah bantulah hambaMu yang daif lagi hina ini dalam mendidik amanahMu ini dan janganlah Kau biarkan aku walaupun sesaat, Ya Allah.

Perjalanan hidupku bersama amanahMu setakat ini selama 3 tahun 4 bulan telah banyak mengajarku kerana setiap anak itu dilahirkan fitrah. Sebenarnya aku yang banyak belajar daripada anakku bukan sebaliknya. Setiap anak yang lahir itu dicorakkan oleh ibubapanya. Mereka tidak kenal buruk baik selain yang diperkenalkan kepada mereka. Istilah "he is just a kid" tidak relevan pada pertimbangan ku kerana sememangnya melentur buluh biarlah dari rebungnya memang jauh lebih mudah berbanding mendidik diriku yang telah menjadi buluh. Dalam usia kecil ini, mereka sedang menyimpan segala maklumat yang bakal menjadi sistem kepercayaan mereka seumur hidup. Disebabkan itu, semasa tempoh 6 tahun pertama ini, aspek Akidah dan Akhlak WAJIB diberi keutamaan agar ia dipasak sedalam-dalamnya dalam minda bakal khalifah ini. 

Kenalkan anak-anak kecil ini dengan kekuasaan Allah dan akhlak yang mulia kerana hanya Allah yang Maha Memelihara, kita sebagai ibubapa hanya berusaha dan semoga Allah memberkati setiap usaha kita. 

Comments

Topik popular