Hari Terakhir

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Tepat pada tahun ini pada tahun lepas (2016) merupakan hari terakhirku sebagai penjawat awam dan sebagai pekerja makan gaji. Pejam celik pejam celik terlalu cepat masa berlalu, maka sudah 1 tahun aku memegang kad pesara. Detik ini juga bermulanya perjalananku sebagai seorang surirumah sepenuh masa dan dalam masa yang sama cuba untuk berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dari rumah.

Pada hari ini juga merupakan tarikh akhir bagi aku melengkapkan cabaran 44 entri dalam tempoh 20 hari bagi kelas asas penulisan blog. Bulan Mac dan 31 Mac merupakan tarikh yang signifikan pada diriku. Apabila dikatakan hari terakhir, soalan langkah seterusnya? Persiapan menjadi surirumah sepenuh masa sememangnya tiada persediaan kerana jawatan itu telah disandang sejak 15 tahun lepas cuma pengurusan masanya yang berbeza. Persiapan memasuki dunia perniagaan sememangnya "zero". Aku tidak pernah mempunyai sebarang pengalaman menjual sebarang produk sebelum ini walaupun ramai rakan-rakan yang menasihatkan aku agar berniaga secara sambilan terlebih dahulu sebelum bersara pilihan. Namun aku lebih mengenali diriku yang tidak mampu melaksanakan 2 kerja berlainan bidang dalam satu-satu masa serta untuk mengelakkan aku menggunakan masa dan peralatan pejabat untuk melakukan perniagaan sambilan, aku mengambil pendekatan berbeza. Aku sebagai manusia yang lemah memilih untuk memasuki dunia perniagaan selepas aku bergelar pesara.

Perit? Yup perjalanannya memang perit kerana menukar rutin memerlukan masa terutamanya bagi aku yang sebelum ini dibesarkan dengan mentaliti makan gaji untuk kestabilan pendapatan. Tiada lagi pendapatan tetap mengajar aku konsep tawakal yang sebenar. Rezeki selepas bersara tidak lagi bertumpu gaji semata-mata namun ia sebenarnya lebih kepada rezeki kelapangan masa mengikut aturan sendiri, rezeki kesihatan, rezeki kemudahan serta kelapangan menuntut ilmu serta rezeki mempelajari ilmu dan berkongsi pengalaman dengan otai-otai bisnes. 

Hari terakhir untuk menyiapkan 44 entri ini juga aku anggap bukan sebagai pengakhiran sebaliknya sebagai satu permulaan kepada satu pengalaman baru dan semoga aku menjadi lebih istiqamah kerana matlamat sebenar bukan semata-mata ada 44 entri namun tentang mendisplinkan diri untuk mencari masa mengemaskini blog yang baru berusia 29 hari ini. Umur yang masih dalam tempoh pantang dan pelbagai pantang larang. Walaupun telah 365 hari bergelar pesara namun pelbagai ilmu dan pengalaman telah dikutip. Ada yang telah diaplikasi dan tidak kurang juga yang telah dilupai namun ia lumrah dalam tempoh pembelajaran.

Bercakap tentang hari terakhir, kita seharusnya tidak lupa bahawa perjalanan kita di dunia ini juga pasti akan berakhir satu hari nanti. Harinya dirahsiakan Allah kerana Allah mahukan kita sentiasa bersedia setiap waktu. Yang pastinya aku sentiasa leka seolah-olah aku menongkat dunia, betapa kejamnya aku pada diriku sendiri. Pelbagai peringatan telah diberi olehNya namun aku terus leka dan lalai tanpa memikirkan apakah bekalanku di akhir terakhirku bergelar manusia? Kata Allah yang kekal cuma 3 perkara, Ilmu yang bermanfaat, Anak yang soleh dan sedekah jariah. Sudahkah cukup akaunku, aku tidak mahu menjadi manusia muflis di sana. Aku pendosa yang sering kali perlu diperingatkan. Hari terakhir di dunia merupakan permulaan sebenar hidup seorang manusia, bak kata Ustaz Dasuki dalam segmen Mauizati di radio Ikim FM, ramai arwah yang terkejut setelah meninggal dunia kerana kini segala janji dan kata-kata Allah terpampang di depan mata. Ya Allah, jadikalah kesudahan dan hari terakhir kami di muka bumi ini dalam Husnul Khatimah dan dalam keadaan Engkau redha kepada kami dan kami redha denganMu, Ya Allah. 



Comments

  1. Terima kasih puan atas catatan ini. Saya muhasabah diri..

    ReplyDelete
  2. Alhamdullilah, bersamalah kita ingat mengingati, puan. Saya pendosa yang ditutup aibnya oleh Allah. Mohon tunjuk ajar puan

    ReplyDelete

Post a Comment

Topik popular