Tuesday, 28 March 2017

Dilema Memilih Tadika

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Impian untuk menjadikan zuriat kami Al Hafiz di awal usia serta seorang daie yang dapat mengembangkan agama Islam, pemilihan tadika merupakan salah satu faktor utama yang perlu diberi penekanan. Memang aku mengajar anakku di rumah namun bukan sepenuhnya kerana setakat ini anakku anak tunggal maka untuk meningkatkan kemahiran sosialnya aku perlu menghantarnya ke tadika untuk separuh hari. Memandangkan tiada Al Baghdadi Playtime Centre (APC) di Miri maka pilihan terdekat adalah Tadika PASTI.

Alhamdullilah cawangan Tadika PASTI yang keenam baru dibuka di taman kami, maka tadi aku telah ke sana untuk bertanya berkenaan yuran dan sebagainya. Apabila ditanya kepada anakku di mana dia mahu bersekolah, katanya tiada APC di Miri jadi tidak perlu ke sekolah. Tapi setelah diterangkan yang untuk pandai perlu belajar maka dia cakap hendak ke Bintang Comel iaitu taska pertamanya di Miri sewaktu aku masih bekerja dahulu. Semalam sebelum tidur aku bercerita tentang kisah seorang pelajar tahfiz yang meninggal dunia dalam kebakaran di asrama sekolahnya, walaupun badannya rentung keseluruhan namun Allah telah memelihara otaknya kerana beliau seorang tahfiz. Cerita itu berjaya menarik minat anakku untuk bersetuju memilih Tadika PASTI kerana aku maklumkan bahawa di Bintang Comel tiada pengajian Al Quran kerana ia taska kepunyaan bukan Muslim.

Walaupun usia anakku baru 3 tahun 5 bulan, namun aku sering memberinya peluang membuat keputusan bagi membina keyakinan dirinya. Semestinya aku tidak menyerahkan bulat-bulat keputusan kepadanya kerana sekiranya keputusan yang dibuat tidak bersesuaian aku akan menerangkan kenapa keputusannya tidak dapat diterima. 

Anakku juga nampaknya tertarik dengan uniform PASTI yang berwarna hijau apabila dia berkesempatan mencuba uniform untuk menentukan saiznya. In sha Allah bulan April 2017, dia akan memulakan pengajian separuh hari di Tadika PASTI Ar Rayyan, Miri. Sesungguhnya semua adalah ketentuan Allah dan aku hanya mampu berusaha dan berdoa. Pembelajaran di sekolah sahaja tidak mampu menjamin keberkesanan pembelajaran jika tiada sebarang kesinambungan di rumah. Sebagai ibubapa, kita perlu meluangkan masa untuk memperkukuhkan setiap yang dipelajari di sekolah kerana menuntut ilmu tidak terhad di sekolah sahaja. Alhamdullilah hari ini diizinkan untuk mengaplikasikan ilmu Neurofisiologi NADI Al Baghdadi untuk membantu anakku menghafaz satu lagi ayat Surah An Naba' iaitu ayat 13, walaupun hanya satu ayat namun yang penting usaha menghafal diteruskan. Ya Allah izinkan kami untuk terus bersama Al Quran setiap masa.

No comments:

Post a Comment