Friday, 24 March 2017

Amalan Sunnah Hari Jumaat

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Pada hari Jumaat yang mulia ini, bersama-samalah kita mengamalkan sunnah Nabi Saw sebagai salah satu tanda kita menyayangi Baginda. Selain sunnah di atas, kita juga digalakkan memotong kuku dan bulu kemaluan di hari Jumaat serta memperbanyakkan bersedekah. Bagi diriku, masih belum istiqamah membaca surah Al Insan dan Surah Sajadah, hanya membaca 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Surah Al Kahfi sahaja itupun belum masih belum di hafaz. Maafkan hambaMu yang sering bertangguh ini seolah-olah aku menongkat dunia. 

Tanda cinta dan sayang pada Rasullulah saw sememangnya perlu dizahirkan kerana tidak beriman seseorang itu sehingga ia mencintai Rasullullah saw lebih daripada dirinya. Ya Allah terlalu jauh diriku dari KPI Mu Ya Allah, aku sering terbabas walaupun sering menyanyikan lagu Tangisan Sepohon Tamar. Betapa kerasnya hatiku sebagaimana lirik lagu itu. Seorang Rasul mulia yang menyayangi umat Baginda walaupun tidak pernah bersua muka. Hadirnya untuk menyempurnakan akhlak dan tiada "role model" selain baginda. Aku masih bertatih mengajar anakku mengenali mu Ya Rasullulah saw kerana diri ini juga hanya di mulut merindui mu wahai kekasih Allah namun hatiku masih keras. Semoga dengan asbab mengamalkan sunnah-sunnahmu dapat memasakkan cinta kami pada mu Ya Rasullulah saw.

Niatku ingin menulis blog juga antaranya untuk belajar menyampaikan ajaranmu Ya Rasullulah saw, bukan kerana aku telah sempurna namun kerana aku juga sedang bertarung membersihkan diriku. Bak kata Ustaz Pahrol, kita mengajak orang ke arah kebaikan seolah-olah tangan yang kotor sedang membasuh pakaian. Akulah tangan yang kotor itu, yang tidak sempurna itu. Hanya rahmat Allah yang memisahkan kita kerana tiada amalan yang menjamin kita ke syurga. Jangan dipandang hina seorang pendosa kini kerana mungkin di pengakhiran hidupnya Allah telah pilih beliau ke syurga. Seperti kisah seorang penganut tegar agama Kristian yang ditakdirkan menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa jam melafazkan syahadah, sesungguhnya hidayah itu milik mutlak Allah. Tiada kehilangan yang paling besar dalam hidup ini selain kehilangan rahmat dan kasih sayang Mu Ya Allah.

No comments:

Post a Comment